Sim For Malaysia

Posts tagged ‘YB’

Laporan Seratus Hari…

June 15th, 2008

Sudah lebih kurang seratus hari saya diundi sebagai wakil rakyat anda. Saya amat bersyukur dan cukup bertuah diberikan peluang memimpin dan berkhidmat kepada anda, masyarakat Pantai Jerejak.

Selepas tarikh bersejarah 8 Mac, saya telah diberikan kepercayaan menjadi menganggotai beberapa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK). Di antaranya adalah MMK Kerajaan Tempatan, MMK Perdagangan dan Perniagaan, MMK Hal Ehwal Pengguna, MMK Tebatan Banjir dan MMK Perumahan.

Penglibatan saya dalam MMK ini petanda jelas bahawa buah pandangan kita semua masyarakat Pantai Jerejak amat dihargai kerajaan negeri. Berkat kepercayaan anda juga, saya dibantu oleh petugas-petugas di DUN Pantai Jerejak berjaya menangani sebahagian besar kes-kes yang diajukan kepada kami.

Contohnya, kami telah bertindak selaku orang tengah dalam rundingan antara penduduk Kampung Sungai Nibong Besar dan pemaju-pemaju perumahan. Rundingan ini melibatkan lebih 130 rumah dengan 2 pemaju.

Sekumpulan pelajar cemerlang lepasan SPM juga telah dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan bantuan biasiswa dan tempat untuk program matrikulasi. Saya berjaya berjumpa dengan timbalan menteri pelajaran dan berjaya mengajukan kes-kes rayuan untuk pertimbangan lanjut.

Masalah banjir di Kampung Sungai Nibong Besar turut mendapat perhatian. Pemaju telah memperbaiki keadaan parit dan memberi pampasan kepada penduduk. Ahli-ahli MPPP juga telah dibawa ke Pasar Bayan Baru untuk menyelesaikan sebahagian masalah mereka. Saya berserta Ahli Parlimen turut bertemu pemandu-pemandu teksi meninjau masalah mereka dengan lebih dekat.

Sebahagian kilang di Bayan Lepas juga telah menerima kunjungan kerja dalam menjalinkan hubungan lebih erat antara penduduk Pantai Jerejak dan industri serta pelabur.

Ini semua hanyalah sebahagian kecil daripada usaha dan masalah yang telah berjaya diuruskan. Saya dan pasukan saya akan terus bekerja keras dan berkhidmat untuk anda.

Sim For Malaysia | About Sim For Malaysia | Keadilan Rakyat | Suara Keadilan | Contact
Creative Commons License Sim For Malaysia is powered by WordPress | RSS Entries and RSS Comments
16 queries. 0.943 seconds.