Sim For Malaysia

Posts tagged ‘speech’

Teks ucapan ADUN Pantai Jerejak Y.B Sim Tze Tzin dalam Perbahasan Ucapan Tuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. 24hb Julai 2008.

Yang Berhormat Tuan Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya hormati sekalian.
7 Julai adalah hari yang penuh bermakna dalam sejarah Pulau Pinang.
Ibu negeri Pulau Mutiara ini diisytiharkan UNESCO sebagai salah satu warisan dunia,  dengan izin Tuan Speaker, World Heritage Site.

Dalam website UNESCO, mereka menyifatkan Georgetown sebagai ,dengan izin Tuan Speaker “The influences of Asia and Europe have endowed the towns with a specific multicultural heritage that is both tangible and intangible.”

Memang tepat sekali ulasan mereka. Sejarah menjadi saksi, dan kita juga menjadi saksi kepada pertemuan pelbagai budaya dan tamadun di negeri ini.

Dari segi yang “tangible” atau zahirnya, kita mempunyai senibina bangunan yang mendapat pengaruh dari pelbagai etnik serta budaya. Dan bangunan-bangunan ini terletak sangat berdekatan antara satu sama lain!

Contohnya, kalau kita berjalan sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling atau Pitt Street, kita dapat saksikan betapa harmoninya Gereja St George, Kuil Goddess of Mercy, Kuil Sri Mahamariamman, Masjid Kapitan Keling dan Masjid Melayu Lebuh Acheh dibina begitu dekat antara satu sama lain.

Dari segi “intangible” atau yang tak nyata, budaya Pulau Pinang diperkayakan dengan pengaruh budaya Melayu, Islam, Cina, India, Barat dan lain-lain lagi dari zaman-zaman dahulu sehinggalah sekarang.

Akan tetapi suka saya untuk menarik perhatian ahli dewan sekalian kepada satu petikan dari tulisan penulis terkenal William Sommerset Maugham, dengan izin Tuan Speaker, “Then it seemed to me that in these countries of the East, the most impressive, the most awe-inspiring monument of antiquity is neither temple, nor citadel, nor great wall, but man.”

Penulis terkenal itu yang pernah singgah di pulau ini ternyata merumuskannya dengan baik sekali.

Kita sangat menghargai peninggalan bersejarah yang ada di sekitar Georgetown dan di negeri ini, akan tetapi mata tajam Sommerset Maugham cukup mengenal kekayaan sebenar negeri bertuah ini; iaitu penduduknya.

Kita sememangnya sangat menghargai peninggalan bersejarah yang ada di pulau ini. Ia adalah lambang pertemuan dua peradaban di antara Eropah dan Asia. Di sini, di tanah ini, menjadi bukti The Clash of Civilisation hanyalah satu omongan kosong.

Tidak ada pertembungan peradaban di Georgetown, kerana penduduknya meraikan kepelbagaian. Oleh itu harus kita harus sedar bahawa  penduduknya sendirilah sebenarnya yang bertindak sebagai acuan yang menjadikan pertemuan dan penggabungan pelbagai peradaban tersebut unik dan tersendiri.

Penduduk di Pulau Pinang telah lama mendakap kosmopolitanisme sebenarnya, mereka sudah biasa untuk hidup bersama, tanpa mengira agama dan etnik.

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-ahli yang Berhormat sekalian,

Inilah satu kepelbagaian yang patut kita banggakan. Kita memenangi Anugerah World Heritage Site bukan kerana kita mempunyai bangunan-bangunan sejarah semata-mata.

Kita menang kerana pengaruh tak ketara atau “intangible” yang pelbagai, yang telah memperkayakan dan memperkuatkan budaya kita sebagai orang Pulau Pinang semenjak beratus-ratus tahun lagi.

Anak Pulau Pinang boleh berasa bangga kerana kita hidup berganding bahu sejak turun temurun lagi. Sehinggakan pelabur-pelabur seluruh dunia ingin melabur di sini kerana kita dapat berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, kita memahami budaya Barat dan Asia, malah makanan yang pelbagai menceriakan kehidupan seharian.

Hidup dalam keadaan pelbagai budaya adalah norma hidup kita. Budaya majmuk adalah cara hidup kita. Dan ini bukanlah sesuatu yang asing dengan kita, kepelbagaian bukanlah fahaman yang diimpot dari Barat semata-mata.

‘Kesatuan dalam kepelbagaian’ adalah warisan kita.

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Perpaduan

Maka kita sebagai pemimpin harus menyedari “competitive advantage” atau kelebihan bersaing bagi anak Pulau Pinang dan mengorak langkah menuju kecemerlangan berlandaskan asas-asas ini.

Pada pendapat saya, kita masih belum mengambil kesempatan, dengan izin Tuan Speaker (take advantage) atas kelebihan kita sebagai masyarakat yang berbilang budaya dan agama.

Malah ada pula pihak-pihak tertentu yang seringkali memainkan sentimen perkauman dan keagamaan tanpa menyedari bahawa perbuatan mereka telah merosakan hubungan antara kaum yang telah kita jalinkan beratus-ratus tahun semenjak zaman nenek moyang.

Dalam suatu perhimpunan semua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat pada bulan Mac lalu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua wakil rakyat Parti KeADILan untuk menghayati maksud sebenar parti pelbagai kaum, multiracial party dengan izin Tuan Speaker.

Multiracial party bukan sekadar parti yang mempunyai pelbagai bangsa semata-mata.

Maksud sebenar multiracial adalah, orang Cina dapat memahami permasalahan orang Melayu,  orang Melayu mampu memahami hati budi orang India, dan orang India faham akal dan fikrah orang Cina.

Dan kitaran saling faham –memahami ini akan berterusan dan memanfaatkan semua pihak. Tiada yang menang atau kalah. Semuanya beruntung.

Inilah pengertian sebenar sebuah parti pelbagai kaum.

Kerajaan Pakatan Rakyat sendiri terdiri daripada parti-parti politik pelbagai kaum. Maka, saya sebagai seorang anak Pulau Pinang dan wakil rakyat berketurunan Cina akan mempertahankan budaya orang Melayu, budaya orang India, budaya orang Cina dan budaya lain-lain yang kita semua warisi.

Saya akan mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi negara di samping menjamin kebebasan beragama untuk agama lain. Saya juga akan memperkuatkan penggunaan Bahasa Melayu dan di samping memupuk pembelajaran dan penggunaan bahasa seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.

Anak Pulau Pinang perlu sedar bahawa Pulau Pinang cukup besar untuk memuatkan kita semua dan sama-sama kita harus menggunakan “competitve advantage” kita untuk bertanding dengan dunia.

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Pulau Pinang akan menghadapi cabaran-cabaran yang cukup genting pada tahun-tahun mendatang. Kita akan menghadapi kemerosotan ekonomi sedunia. Ekonomi Malaysia semakin lembap terutamanya selepas kenaikan harga minyak. Kenaikan harga makanan telah mencapai suatu tahap yang amatlah membimbangkan.

Kualiti kehidupan semakin merosot sehinggakan perbelanjaan pendidikan terpaksa dikurangkan.

Kepimpinan

Sebenarnya pada pendapat saya, cabaran kita yang paling penting pada ketika ini, adalah kepimpinan. Kita memerlukan seorang pemimpin yang berpandangan jauh, berwawasan, berjiwa rakyat dan mempunyai tekad politik yang kuat untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat Pulau Pinang.

Kepimpinan di bawah kerajaan yang lepas bukan sahaja lembap, lemah dan tidak berkemampuan malah menyebabkan kemerosotan kepada banyak asas-asas yang kita bangga-banggakan selama ini.

Nasib baik, rakyat Pulau Pinang bijak dan sedar akan kelemahan dan kelembapan kerajaan terdahulu. Maka pada 8 Mac yang lepas, mereka telah membuat keputusan untuk memilih “Perubahan”.

Suara rakyat suara keramat. Dengan sokongan lebih 60% rakyat pulau Pinang, kerajaan Pakatan Rakyat Berjaya membentuk kerajaan yang stabil dengan lebih 2/3 majoriti Dewan Undangan. Kita bertuah kerana perubahan akan berlaku di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat.
Mulai sekarang, kita akan melayari lautan yang penuh bergelora. Pemimpin negeri iaitu Ketua Menteri bagaikan nakhoda, akan membawa anak-anak kapal melayar samudera perjalanan yang penuh cabaran. Konsep CAT cukup menyakinkan kerana dari segi pentadbiran kita mempunyai CAT.

Cabaran sekarang adalah ke mana kita akan layari.

Adakah kita mempunyai wawasan? Adakah kita mempunyai tekad? Adakah kita mempunyai political Will yang kadangkalanya bukan populis.

Ini adalah penting, kerana rakyat dahagakan perubahan. Tetapi perubahan senantiasa bukan popular.

Saya yakin bahawa nakhoda kita akan mempunyai hala tuju yang jelas.

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Masa depan Pulau Pinang akan menuju harapan baru jika kita bertekad untuk Perubahan.

Kita sebagai wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan haruslah bertekad berjuang bersama-sama nakhoda kita mengempuri lautan yang penuh cabaran.

Perumahan

Antara masalah yang dihadapi di Kawasan Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak malah seluruh Pulau Pinang adalah masalah perumahan. Ramai penduduk terutamanya orang Melayu di samping kaum Cina dan India tinggal dalam kawasan yang kurang memuaskan. Mengikut anggaran, sebanyak seribu keluarga atau lebih lima ribu penduduk tinggal dalam kawasan setinggan di KADUN Pantai Jerejak, majoriti mereka orang Melayu. Kawasan setinggan akan banjir setiap kali hujan lebat. Dua minggu yang lalu, banjir kilat yang cukup teruk berlaku di Kg Sungai Nibong Besar, Tengah, Kecil, Bukit Kecil, Jalan Tengah, Bayan Baru. Keadaan kebersihan dan kesihatan di kalangan penduduk juga dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

KADUN Pantai Jerejak juga mempunyai banyak pangsapuri perumahan, terutama perumahan kos rendah yang semakin usang keadaannya. Dinding kotor perlu dicat semula. Lampu yang rosak perlu diganti. Keadaan sekitar yang kotor perlu dibersihkan. Alam sekitar perlu dilanskap semula.

Masalah-masalah ini merupakan masalah rumit yang memerlukan perhatian kerajaan negeri dengan kadar segera.

Kerajaan negeri perlu meningkatkan kualiti hidup. Kerajaan negeri perlu menyediakan rumah kos rendah atau mampu milik untuk seribu keluarga peneroka bandar di kawasan setinggan. Kerajaan perlu berusaha menyelamatkan flat-flat perumahan yang semakin usang dengan “Urban Renewal Plan”.

Izinkan saya cadangkan beberapa cadangan yang membina untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sebagai kerajaan yang baru, kita boleh menjalankan projek-projek yang penuh lonjakan paradigma dan inovasi. Pangsapuri kos rendah boleh dibangunkan dengan cara private-government funding initiative dengan kerjasama pemaju dan kerajaan.

Pangsapuri baru haruslah menggunakan teknologi yang baru termasuk environmental design untuk menjadikannya “carbon neutral”.

Ini bermaksud, pangsapuri haruslah mempunyai teknologi untuk menjana elektrik seperti solar panel. Ia juga boleh menggunakkan LED untuk penyalaan supaya lebih menjimatkan tenaga.

Rekabentuk haruslah lebih cakna rakyat seperti menyediakan kemudahan OKU dan sebagainya. Ia juga mesti dilengkapi kemudahan broadband supaya kita dapat mengejar kemajuan teknologi.

Begitu juga renovasi yang akan dijalankan ke atas pangsapuri yang usang, supaya nilai tambah ke atas pangsapuri tersebut dapat melipat gandakan harga rumah tersebut. Ini merupakan “win-win situation” yang kerajaan boleh lakukan. Daripada membiarkan pangsapuri  terus usang, marilah kita sama-sama menggemblengkan idea dan teknologi baru untuk menaiktarafkan kediaman ini.

Sistem Pengangkutan

Saya amat tertarik hati dengan YB Penaga yang banyak berhujah system pengangkutan bersepadu. Ini memang bidang kepakaran saya.

Jadi saya amat berminat untuk menyentuh serba sedikit tentang isu ini.

Keadaan kesesakan jalanraya berlaku kerana kita tidak mempunyai alternatif yang memuaskan. Setiap hari kita membazirkan beberapa jam pertama yang paling produktif dalam kesesakan lalulintas. Kita kurang masa bersama keluarga kerana kesesakan dan keletihan akibat kesesakan lalulintas.

Maka sistem pengangkutan awam yang komprehensif memang perlu dan mustahak.

Ada ungkapan yang mengatakan “Take 20% cars out of the road, solve 80% of the problem”.

Kita perlu menyediakan sistem pengangkutan awam yang komprehensif dengan bas sebagai pengangkutan utama.

Kalau Trans-Jakarta Berjaya menyediakan sistem bas mirip sistem LRT di KL, cepat dan tepat pada masa, kenapa Rapid Penang tidak boleh?

Lebih-lebih lagi kos pembinaan jauh lebih murah, siapa kata kita hanya perlu monorail sahaja?

Kerajaan juga perlu sediakan bas awam di antara seberang Perai dan Pulau Pinang melalui Jambatan Pulau Pinang. Sistem Trans-Jakarta adalah sistem yang harus dipertimbangkan.

Untuk melengkapkan lagi sistem ini, kita perlu integrasikan pengangkutan awam dengan sistem park and ride, congestion pricing iaitu mengenakan bayaran untuk penggunaan kenderaan pada waktu sesak dan dan juga car-pooling system. Dengan insentif-insentif dan disinsentif-disinsentif ini pengunaan kenderaan persendirian mampu dikurangkan.

Satu cadangan lagi ialah menjadikan Bandaraya Georgetown mesra basikal dan pejalan kaki. Kita harus merancang mewujudkan laluan basikal dan pejalan kaki di sekitar Bandaraya Georgetown secara komprehensif. Struktur geographi Georgetown memang rata dan sesuai untuk basikal.

Strategi perlaksanaan adalah mengurangkan laluan kereta dan memperuntukan ruang tersebut untuk basikal dan pejalan kaki. Ini akan menghadkan jumlah kereta yang akan memasuki Bandaraya Georgetown.

Perancangan boleh diteruskan ke Tanjong Tokong dan juga Batu Maung melalui Coastal Highway yang penuh keindahan. Bike trail ini akan menjadi suatu tarikan pelancong yang Berjaya seperti yang terdapat di San Francisco.

Sekitar laluan basikal dan pejalan kaki akan ditanam dengan pokok-pokok teduh. Pejabat-pejabat kita juga perlu mula menyediakan bilik mandi. Ini melibatkan perubahan cara hidup dan paradigma. Kalau Bandar-bandar besar seperti Amsterdam dapat melaksanakannya dan menjadikan bandar tersebut unik, mengapa tidak Georgetown?

Semua cadangan ini memerlukan wawasan, perubahan minda, perancangan yang bersungguh-sungguh dan yang paling penting political will, dengan izin Tuan Speaker. Ia bukan senang malah ramai pengundi akan marah dan tidak puas hati. Akan tetapi, jika kita berjaya, kerajaan Pulau Pinang akan menjadi contoh kepada seluruh Malaysia malahan dunia . Kita juga akan meninggalkan legasi hebat dan penduduk Pulau Pinang akan menyokong sepenuhnya kerajaan Pakatan Rakyat.

Teknologi Maklumat

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, kawasan ADUN Pantai Jerejak malah seluruh Pulau Pinang adalah “Silicon Valley of Asia”. Agenda kita sekarang seharusnya adalah meningkatkan tahap celik  teknologi maklumat dan komunikasi ICT di kalangan penduduk Pulau Pinang. Kita seharusnya meningkatkan budaya penggunaan ICT di semua peringkat urusan kehidupan dan kerjaya. Pulau Pinang sebagai “Silicon Valley of Asia” mempunyai potensi yang cukup baik untuk menerajui revolusi teknologi maklumat ini. Pulau Pinang mempunyai cukup golongan celik pandai dalam bidang teknologi maklumat. Pulau Pinang juga mempunyai infrastruktur yang baik, negeri kita mempunyai Free Industrial Zone yang merupakan pengeluar teknologi maklumat di seluruh dunia.

Namun, negeri kita juga masih lagi ada kekurangannya. Sebahagian dari kita masih lagi ketinggalan dalam penggunaan teknologi maklumat. Infrastruktur kita masih dalam tahap dial-up atau jalur lebar 1.0 megabit sesaat, sedangkan dunia sudah memasuki zaman broadband 10 megabit sesaat.

Budaya aplikasi teknologi masih pada peringkat awal. Semangat keusahawanan teknologi masih di tahap rendah.

Kita tidak mempunyai teknologi start-up seperti Silicon Valley di Amerika Syarikat.

Kita perlu mengejar dan bersama gelombang revolusi teknologi maklumat ini. Kerajaan harus memupuk penubuhan syarikat-syarikat teknologi start-up tempatan dengan insentif-insentif seperti bantuan kewangan, tanah, networking dan pasaran.

Dunia sudah menjadi rata, seperti yang diwarwarkan oleh penulis terkenal Thomas Friedman  “The world is flat”.

Revolusi teknologi bukan sekadar membeli komputer terbaru atau mengejar telefon bimbit yang canggih sahaja.

Revolusi teknologi memerlukan pemahaman yang lebih mendalam. Aplikasi teknologi hendaklah menjangkaui semua susuk kehidupan. Dari cara kita menimba ilmu, mencari maklumat, berfikir sehinggalah kepada cara kita berkomunikasi, menjalani urusan seharian,  berniaga sehinggalah cara kita berhibur.

Contohnya pada masa kini, kita emelkan notis mesyuarat kerajaan negeri dan minit mesyuarat, bukan lagi pakai faks, surat dan setem.

Telefon bimbit kita selaraskan dengan google calendar untuk mesyuarat kerajaan bukannya pakai diari setiausaha lagi. Semua jawapan-jawapan soalan Dewan Undangan Negeri diemelkan sahaja dan bukan lagi dicetak.

Kalau boleh hansard akan dipamerkan dalam laman web, diemelkan dan boleh dimuat turun juga. Cadangan-cadangan ini diharapkan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Pada peringkat kerajaan negeri, kita juga perlu adakan lonjakan paradigm secara lebih jauh untuk mengejar revolusi teknologi maklumat. Kalau City of Philadelphia dan Brunei bertekad untuk memasang Wi-Fi ke seluruh pelosok bandar mereka seolah-olah api dan air, saya yakin kerajaan Pulau Pinang juga dapat berbuat demikian supaya kita tidak ketinggalan. Seratus tahun yang lalu api dan air adalah kemudahan asas, zaman sekarang jalur lebar menjadi keperluan asas.

Revolusi maklumat yang meratakan dunia juga memerlukan kita “think globally”,dengan izin Tuan Speaker. Ia melibatkan perubahan pemikiran.

Persaingan antara kita bukan lagi sesama kita tetapi dengan seluruh dunia. Maka kita perlu sentiasa bersaing dengan standard amalan terbaik di seluruh, bukan lagi menjadi jaguh kampong. Kita mesti menjadi jaguh sedunia, the best in the world.

Berlandaskan semangat ini, kita tidak boleh berpuas hati dengan sekadar membaca suratkhabar tempatan setiap hari, kita juga perlu membaca New York Times dan International Herald Tribune. Kita tidak boleh berpuas hati dengan sekadar menonton TV3, kita juga perlu menonton BBC World dan Alzajeera.

Saya sendiri tidak boleh puas hati sekadar  dengan menjadi wakil rakyat di Pulau Pinang sahaja, tetapi sentiasa bersaing dengan wakil-wakil rakyat di Amerika Syarikat, England, Jepun dan sebagainya.

Semangat bersaing dengan dunia ini akan membantu kita melonjak ke hadapan ke tahap kecemerlangan. Ia bukan susah. Ia seharusnya bermula sekarang di sini di Pulau Pinang dan di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat pada hari ini juga.

Akhir kata, seperti diungkapkan Mahatma Ghandi “We have to be the change we want to see” –  Kita perlu menerajui perubahan yang kita impikan.

Dengan ini saya akan emelkan teks ucapan saya kepada Setiausaha Dewan dan memohon menyokong.

Terima kasih.

Sim For Malaysia | About Sim For Malaysia | Keadilan Rakyat | Suara Keadilan | Contact
Creative Commons License Sim For Malaysia is powered by WordPress | RSS Entries and RSS Comments
15 queries. 1.002 seconds.