Sim For Malaysia

Posts tagged ‘politik’

Astro Awani Live!

August 22nd, 2008

Semalam, saya menyertai program Sudut Pandang, Astro Awani Ch501 bersama dengan host Kamarul Bahrin dan Senator Datuk Akbar Ali, wakil dari BN. Saya akan pamerkan video selepas saya terima digital copy.

Kami membincangkan isu-isu ekonomi global seperti subprime mortgage crisis di Amerika Syarikat dan isu-isu ekonomi Malaysia.

Saya berpendapat, masalah kelembapan ekonomi di Malaysia sekarang berpunca bukan kerana masalah global, malah lebih kepada kelembapan kepimpinan dan krisis kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin negara. Mereka tidak berwibawa untuk memacukan pertumbuhan yang lebih pesat. Kita mempunyai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang telah terbukti gagal selepas PRU Mac 8. Kita mempunyai TPM yang banyak mengalami masalah dan terkenal sampai ke Mongolia.

Bolehkah pelabur percaya kepada kepimpinan mereka?

Banjir dan kualiti hidup

July 4th, 2008

Pantai Jerejak dan Bayan Baru dilanda banjir yang cukup serius semalam. Saya terima aduan pukul 5 pagi.

Ia merupakan “perfect storm” dimana air laut pasang pada masa sama dilanda ribut lebat. Maka, kita menyaksikan lebih 100 rumah dibanjiri air. Saya memang terasa kesulitan dan masalah penduduk.

Petang tadi saya bawa pegawai JPS, JKR dan kakitangan MPPP melawat tapak-tapak banjir di kg Sungai Nibong Pantai, Pantai Jerejak, B-suit, kg Sg Nibong Tengah etc. Untuk jangka pendek, pihak berkuasa akan menjalankan beberapa short term fix, seperti membaiki flood gate yang rosak, buka lebih inlet, atau menambahkan pam jika perlu.

Tetapi untuk jangka panjang, membangunkan kawasan peneroka bandar dengan tersusun adalah lebih penting. Kerajaan BN gagal dari aspek tersebut, tiada perancangan yang teliti. Maka banjir kilat kerap berlaku.

Saya berhasrat mendapat kerjasama semua penduduk dan semua pihak untuk membangunkan kawasan supaya memberi kualiti hidup yang lebih baik. Proses ini memakan masa yang panjang. Beberapa plan sedang dibincang.

Buat masa ini, paling penting adalah menjaga kebersihan sungai dan parit, jangan membuang sampah, ya!

Sim Tze Tzin

Para ADUN sekarang sedang sibuk bersiap-sedia untuk Dewan Undangan Negeri yang bakal diadakan pada 21 Julai nanti. Ini merupakan satu amanah yang cukup besar untuk kami. Sesi menghantar soalan telah bermula minggu lepas dan akan berakhir besok. Setiap ADUN berkesempatan menanya 3 soalan lisan dan 30 soalan bertulis.

Kebelakangan ini, saya telah menumpukan perhatian saya pada “research” untuk soalan-soalan. Saya bertumpukan soalan saya kepada Agenda Perubahan, Ekonomi, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam. Saya amat bernasib baik kerana pendidikan dan kerjaya saya sebelum ini berkaitan dengan bidang-bidang tersebut, malah pengalaman pekerjaan saya di luar negeri memberi nilai yang tidak terharga. Semoga saya boleh membawa agenda perubahan untuk memacukan negeri mutiara ke harapan yang baru.

Kalau kamu ada kemusykilan, jangan segan mengacukan soalan kepada saya, ya! Biar saya tanya!

Laporan Seratus Hari…

June 15th, 2008

Sudah lebih kurang seratus hari saya diundi sebagai wakil rakyat anda. Saya amat bersyukur dan cukup bertuah diberikan peluang memimpin dan berkhidmat kepada anda, masyarakat Pantai Jerejak.

Selepas tarikh bersejarah 8 Mac, saya telah diberikan kepercayaan menjadi menganggotai beberapa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK). Di antaranya adalah MMK Kerajaan Tempatan, MMK Perdagangan dan Perniagaan, MMK Hal Ehwal Pengguna, MMK Tebatan Banjir dan MMK Perumahan.

Penglibatan saya dalam MMK ini petanda jelas bahawa buah pandangan kita semua masyarakat Pantai Jerejak amat dihargai kerajaan negeri. Berkat kepercayaan anda juga, saya dibantu oleh petugas-petugas di DUN Pantai Jerejak berjaya menangani sebahagian besar kes-kes yang diajukan kepada kami.

Contohnya, kami telah bertindak selaku orang tengah dalam rundingan antara penduduk Kampung Sungai Nibong Besar dan pemaju-pemaju perumahan. Rundingan ini melibatkan lebih 130 rumah dengan 2 pemaju.

Sekumpulan pelajar cemerlang lepasan SPM juga telah dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan bantuan biasiswa dan tempat untuk program matrikulasi. Saya berjaya berjumpa dengan timbalan menteri pelajaran dan berjaya mengajukan kes-kes rayuan untuk pertimbangan lanjut.

Masalah banjir di Kampung Sungai Nibong Besar turut mendapat perhatian. Pemaju telah memperbaiki keadaan parit dan memberi pampasan kepada penduduk. Ahli-ahli MPPP juga telah dibawa ke Pasar Bayan Baru untuk menyelesaikan sebahagian masalah mereka. Saya berserta Ahli Parlimen turut bertemu pemandu-pemandu teksi meninjau masalah mereka dengan lebih dekat.

Sebahagian kilang di Bayan Lepas juga telah menerima kunjungan kerja dalam menjalinkan hubungan lebih erat antara penduduk Pantai Jerejak dan industri serta pelabur.

Ini semua hanyalah sebahagian kecil daripada usaha dan masalah yang telah berjaya diuruskan. Saya dan pasukan saya akan terus bekerja keras dan berkhidmat untuk anda.

Sim For Malaysia | About Sim For Malaysia | Keadilan Rakyat | Suara Keadilan | Contact
Creative Commons License Sim For Malaysia is powered by WordPress | RSS Entries and RSS Comments
15 queries. 1.544 seconds.