Terima kasih, Y.B. Tuan Speaker.
Baru-baru ini, Kawasan DUN Pantai Jerejak yang juga termasuk Bayan Baru mengalami banjir-banjir kilat yang teruk. Gejala ini tidak pernah dialami dalam dekad-dekad kebelakangan ini. Banjir-banjir kilat kian menjadi lebih kerap dan menyebabkan kesusahan dan kerosakan harta benda di kawasan terlibat. Kawasan yang paling serius dialami adalah termasuk Kg Sungai Nibong Besar, Kg Sungai Nibong Tengah, Kg Sungai Nibong Kecil, Kg Bukit Kecil, Pantai Jerejak, Kawasan Sunshine Square ke Masjid Bayan Baru, Mahsuri, B-Suite dan lain-lain. Ada sesetengah tempat mengalami banjir sehingga 1 meter.
Oleh yang demikian, saya merayu bahawa pihak berkuasa yang terlibat dalam kerja-kerja penebatan banjir termasuk Pejabat Daerah, Jabatan Parit dan Saliran, MPPP dan JKR bekerjasama mengadakan kajian khas terhadap gejala banjir kilat di kawasan KADUN Pantai Jerejak. Taskforce khas yang berbentuk inter-departmental ini bertujuan:
- Mencari punca-punca masalah banjir kilat
- Menganalisa kapasiti sistem perparitan yang sedia ada secara teknikal
- Menentukan (identify) bottleneck-bottleneck yang terjadi
- Menentukan tempat-tempat keperluana penaik-tarafan
- Memberi cadangan-cadangan penyelesaian jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang
- Memberi cadangan-cadangan perubahan kepada piawaian perparitan
- Memperuntukan kewangan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penaik-tarafan
- Mempamerkan dan mengedarkan laporan taskforce terperinci kepada penduduk KADUN Pantai Jerejak
Saya juga merayu supaya taskforce ini akan memulakan tugas mereka secepat mungkin untuk membantu rakyat menyelesaikan masalah menjelang musim hujan yang akan datang.
Terima kasih.