Sim For Malaysia

Yang Berhormat Tuan Speaker dan Ahli-ahli Berhormat sekalian,

Pada pertengahan tahun 1960an, Negara Britain mengalami suatu kegawatan ekonomi yang cukup teruk. Harga Barang naik mendadak pada masa yang sama ekonomi tidak berkembang. Seorang Ahli Parlimen yang bernama Iain Macleod menamakan gejala tersebut sebagai Stagflation, dengan izin. Stagflasi membawa maksud pertumbuhan yang merencat dan inflasi berlaku pada masa yang sama. Sehingga tahun 1960 an ramai dari ahli teori ekonomi bermazhab Keynesian menolak berlakunya krisis ekonomi ini. Tetapi ia tetap berlaku juga.

Krisis stagflasi yang lebih terkenal berlaku pada tahun 1973. Kali ini ia berlaku di Amerika Syarikat. Pada masa itu, Negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah mengenakan embargo minyak ke atas Amerika dan negara Eropah lain sebagai langkah menghukum Negara tersebut membantu Israel. Akibatnya harga minyak naik mendadak secara tiba-tiba pada masa yang sama, ekonomi Negara tidak bertumbuh. Stagflasi bermula sejak 1973 dan kesan-kesannya masih dirasai pada awal tahun 80an. Krisis ekonomi ini lebih dikenali krisis minyak.

Pada 4hb Jun 2008, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi mengumumkan kenaikan minyak dan kos tenaga(energy cost) yang mendadak. Kenaikan ini bukan sahaja bersamaan malah lebih daripada apa yang berlaku di negara Britain dan Amerika Syarikat. Kenaikan harga minyak antara 41% hingga 63%, 26% untuk kadar elektrik dan 129-187% untuk gas semulajadi akan membawa impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia.

Kesan kenaikan minyak secara mendadak dan melampau ini telah menyebabkan impak yang besar kepada peniaga dan menghakis kepercayaan pengguna dan rakyat jelata. Contoh yang paling ketara, mengikut laporan MIER, Malaysian Institute of Economics Research yang dipaparkan oleh akhbar the Star pada 18 Julai 2008, yang bertajuk: “Consumer Sentiments Falls To All Time Low”. Laporan tersebut menganalisa dengan lebih lanjut, dengan izin:

The Malaysian Institute of Economic Research (Mier) said its consumer sentiments index (CSI) slumped to a reading of 70.5 - 8.6 points lower than the previous low seen in the second quarter of 1998 when the Asian financial crisis was in full swing - as deteriorating household incomes head the list of minuses in the consumer outlook.

The reading of 70.5 points (any point below 100 indicates a bearish sentiment)showed the economy was slowing down considerably.

Satu lagi bukti yang nyata adalah laporan kajiselidik Merdeka Center yang dilakukan pada bulan julai. Dalam satu soalan yang menanyakan “How strongly would you say that your family/you have been impacted by the increase in fuel prices?”, sebanyak 87% rakyat Malaysia menunjukkan ketidakpuasan hati.

Sememangnya, sebagai sebuah negara pengeluar minyak, kita boleh mengelak dari berlakunya Stagflasi dengan mengawal harga minyak. Tetapi, pengurusan ekonomi YAB Perdana Menteri yang juga sebagai Menteri Kewangan, sememangnya lemah, meletakkan Malaysia dan Pulau Pinang dalam belenggu Stagflasi.

Mengikut laporan kewangan negara kita memberi subsidi kepada IPP, atau Independent Power Producer(Pengeluar Tenaga Bebas) sebanyak RM 15.6 bil pada tahun 2006 dan mungkin mencecah RM 18 bil pada tahun 2007. Mengapa wang subsidi yang begitu besar diberi kepada kroni-kroni besar seperti YTL dan Malakoff, tetapi bukan rakyat? Sebanyak 40% kapasiti yang dikeluarkan oleh IPP merupakan kapasiti lebihan atau dengan izin excess capacity. Bukankah ini merupakan suatu pembaziran yang melampau? Mengapakah subsidi tersebut tidak diberikan kepada rakyat jelata? Kita mencadangkan kapasiti lebihan/simpanan yang berjumlah 40% ini dikurangkan kepada hanya 20%, iaitu peratusan munsabah yang digunakan oleh negera-negara maju. Pengurangan ini juga membuka peluang kepada kita untuk merunding semula subsisdi harga bahan bakar kepada IPP.

Pembatalan Projek dari Kerajaan Pusat

Dalam kegawatan ini, kerajaan pusat bukan sahaja tidak membantu negeri Pulau Pinang, malah menghentikan beberapa projek projek yang diperlukan seperti Monorel, Projek Lingkaran Luar Pulau Pinang PORR, pembesaran Empangan Mengkuang yang berjumlah sebanyak RM 4.7 billion.

Dewan yang mulia ini, negeri Pulau Pinang merupakan engin kepada pembangunan Malaysia yang ulung. Negeri kita mencatat GDP yang lebih RM21 bil pada tahun 2005. Adalah wajar kerajaan pusat melabur dalam negeri yang mengeluarkan telur emas ini. Infrastruktur-infrastruktur penting untuk negeri Pulau Pinang perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan untuk mengembangkan ekonominya. Menghentikan projek-projek pembangunan adalah seolah-olah “kill the goose that lays the golden eggs”(membunuh angsa yang menelurkan telur emas).

Pihak pembangkang sering menyatakan hubungan yang tidak erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri adalah punca utama negeri Pulau Pinang tidak dapat peruntukan. Sikap yang cukup angkuh yang ditunjukkan oleh sesetengah mereka. Mereka seolah-olah telah lupa bahawa tugas kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat. Kerajaan dipilih oleh rakyat, sebenarnya. Mereka sebagai wakil rakyat Pulau Pinang seharusnya bertungkus-lumus cuba mendapatkan peruntukan untuk menjaga negeri Pulau Pinang. Tetapi sikap sesetengah mereka yang angkuh seakan-akan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat. Saya ingin mengingatkan kawan-kawan kita dari Barisan Nasional akan satu ungkapan terkenal oleh Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln “government of the people, by the people, for the people”.

Maka, saya ingin menyeru supaya kerajaan pusat balik ke pangkal jalan, jagalah rakyat, berilah peruntukan RM 4.7 bilion kepada negeri Pulau Pinang, demi meneruskan pembangunan ekonomi negeri. Ahli-ahli pembangkang sekalian, marilah kita sama-sama berganding bahu kali ini sebagai wakil-wakil rakyat negeri Pulau Pinang secara bi-partisanship, marilah kita sama-sama menuntut peruntukan dari kerajaan pusat demi kebaikan rakyat Pulau Pinang.

Pelaburan dan Keprihatinan Rakyat

Di bawah keadaan yang terhempit ini, kita perlu berasa bersyukur kerana kerajaan negeri masih berupaya memperolehi pelaburan asing sebanyak RM 1.4 billion. Pelaburan ini akan melahirkan peluang pekerjaan untuk rakyat negeri Pulau Pinang. Usaha ini memang menunjukkan keprihatinan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat yang bertunjangkan prinsip “Ketuanan Rakyat”.

Kerajaan juga tidak lari dari tanggungjawabnya untuk membela rakyat. Banyak program-program dan bantuan telah dihulurkan kepada keluarga rakyat susah yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan. Beras-beras telah diberikan kepada keluarga-keluarga yang telah mendaftarkan diri di bawah bantuan Jabatan Kebajikan. Kerajaan negeri juga memberi RM100 kredit air untuk keluarga-keluarga miskin.

Semalam, Ketua Menteri telah melahirkan hasrat beliau untuk membasmi kemiskinan tegar dalam tahun ini juga. Inilah suatu usaha kerajaan negeri yang berprinsipkan kepedulian rakyat dan ketuanan rakyat.

Wawasan Kerajaan Negeri

Wawasan Kerajaan Negeri cukup besar. Kerajaan negeri ingin menjadikan Pulau Pinang sebagai bandaraya antarabangsa (global city) yang merupakan pilihan para pelancong, pelabur dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan. Hasrat ini boleh dicapai, jika semua rakyat Pulau Pinang berganding bahu mengusahakannya dengan gigih.

Ia bukan susah tetapi kita perlu menjalankan lonjakkan paradigma sesama kita. Tanggungjawab ini bukan sahaja dipikul oleh kerajaan negeri tetapi kakitangan kerajaan dan rakyat jelata sekalian. Ia seharusnya dipikul oleh segenap lapisan warga Pulau Pinang.

Dari golongan rakyat, kita perlu berusaha berganding bahu dengan kerajaan negeri pada saat-saat yang genting ini. Marilah kita sama-sama mendukung hasrat kerajaan menjadikan Pulau Mutiara bersinar semula. Marilah kita sama-sama menjaga kebersihan negeri yang tercinta ini. Marilah kita bekerjasama sesama sendiri tanpa mengira kaum, bangsa dan fahaman politik demi kebaikan negeri yang tercinta ini.

Dari golongan kakitangan kerajaan dan pentadbir pula, kita sedang menghadapi krisis kepercayaan kepada kerajaan dan perkhidmatan awam. Ini adalah suatu gejala yang amat membimbangkan. Ini mungkin disebabkan oleh pentadbiran-pentadbiran lembap yang lepas. Pandangan negatif rakyat terhadap kerajaan dan perkhidmatan awam menyakitkan hati kita semua. Jadi adalah penting kita semua melakukan sesuatu untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kita semua. Marilah kita sama-samalah mendokong perlaksanaan sistem pentadbiran CAT, cekap, akauntability dan Telus di bawah kerajaan yang baru. Ini merupakan sesuatu system yang diterapkan dengan nilai rohani yang mampu memulihkan kepercayaan ke atas kerajaan.

Para kakitangan kerajaan dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dalam kesibukan seharian, mungkin kita sudah lupa kenapa kita menceburi bidang perkhidmatan awam, public service dengan izin.

Mari kita mengimbas kembali sama-sama. Tujuan kita menyertai bidang public service samada dalam perkhidmatan awam atau politik bukanlah untuk mencari pekerjaan yang stabil, bukan untuk kepentingan diri malah bukan untuk mencari kekayaan. Kita sedia maklum public service adalah suatu bidang yang cukup mencabar dan pulangannya tidak lumayan. Kalau kita menceburi bidang swasta, kemungkinan kita akan mendapat gaji yang lebih.

Jadi kenapa kita menceburi public service? Kenapa kita ceburi perkhidmatan awam?

Saya rasa, kebanyakkan kita ingin berbuat sesuatu - “make a difference” untuk negeri dan negara kita dengan izin. Kita mempunyai impian yang tinggi untuk negara kita. Kita ingin menjayakan negeri dan negara kita. Kita ingin menjadi salah seorang yang menjayakan impian tersebut. “We want to be part of something that is greater than ourselves”.

Jadi adalah penting kita balik ke pangkal idealisme yang mungkin sudah terpendam. Marilah kita membangunkan semula semangat idealisme tersebut. Marilah kita sama-sama mengemblengkan tenaga untuk memajukan negeri kita bersama-sama.

Dengan ini saya memohon menyokong.

Leave a Reply

 
Sim For Malaysia | About Sim For Malaysia | Keadilan Rakyat | Suara Keadilan | Contact
Creative Commons License Sim For Malaysia is powered by WordPress | RSS Entries and RSS Comments
12 queries. 0.167 seconds.